SHAH ALAM - Malaysia memerlukan para negarawan dan bukannya ahli politik dalam memerangi isu rasuah.
 
Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar berkata, generasi akan datang seharusnya berhati-hati memilih pemimpin.
 
"Ahli politik masuk politik bukan sebab nak bantu rakyat, tapi sebab nak cepat kaya, oleh yang demikian, patutlah kita sebagai pengundi memilih pemimpin yang betul-betul mampu menjaga kebajikan rakyat.
 
"Namun, hendak pilih pemimpin yang benar-benar bebas rasuah pun sukar, sebab itulah saya pernah berkata dahulu, pilihlah pemimpin yang kurang rasuahnya," katanya ketika Wacana Sinar Harian Siri ke-46 'Rasuah dan Penyelewengan: Di Mana Maruah Kita' di Kumpulan Media Karangkraf, semalam.
 
Sementara itu, Akhtar turut berkongsi tiga ciri pemimpin kleptokrasi (pemerintah pencuri) kepada orang ramai.
 
"Pertama ialah segala kontrak akan diberikan kepada kroni-kroninya, kemudian, segala jawatan pegawai kerajaan akan diberikan kepada kroni dan adik-beradiknya.
 
"Ketiga, wang kerajaan pula digunakan sewenang-wenangnya untuk kepentingan diri sendiri dan bukannya rakyat," katanya lagi.
 
Tambahnya lagi, tiada ahli politik yang tidak terlibat dengan rasuah sama ada secara langsung dan tidak langsung.
 
"Oleh itu, kita perlu berhati-hati memilih pemimpin dan sekiranya pemimpin tersebut buat salah, maka beliau haruslah bertaubat.
 
"Kita tidak mahu jika negara dimalukan hanya kerana mempunyai pemimpin perasuah ini," tambahnya lagi.