Semasa memilih pekerjaan, ada dua faktor utama yang diambil kira oleh seseorang individu. Pertama, kerana minat mendalam. Kedua pula kerana gaji yang ditawarkan. Majoriti individu lebih suka memilih faktor pertama namun akhirnya kewujudan minat yang mendalam terhadap. Bagi seorang graduan dari Universiti Malaya (UM) ini pula, minatnya untuk membantu komuniti menjadi keutamaan. Mohd Khushairi Borhanudin, 25 tahun, telah mengambil keputusan nekad untuk mengakhiri kariernya di CIMB Bank demi menceburi bidang kerjaya yang menyumbang kepada masyarakat. Jelasnya, walaupun gaji yang diperoleh lebih rendah, kepuasan memberi khidmat kepada komuniti itu amat berharga. 
 
BUAT KAJIAN TENTANG TB
Sebagai pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan pengkhususan di dalam bidang Antropologi dan Sosiologi, Khushairi merasakan tugas sebagai seorang penyelidik adalah pilihan yang tepat. Justeru, dia memulakan kerjayanya sebagai Pembantu Penyelidik di Center of  Excellence for Research in AIDS (CERiA), Jabatan Pembangunan dan Kajian, UM. “Sebagai seorang Pembantu Penyelidik, tugas saya adalah membantu Research Fellow iaitu Dr.Haider dalam projek kajian beliau di dalam bidang sains sosial. Ketika ini, projek beliau memfokuskan kepada penyelidikan  terhadap penyakit berjangkit iaitu Tuberculosis atau TB. Juga lebih dikenali sebagai batuk kering. Kerjaya saya berlainan daripada  penyelidik-penyelidik lain kerana saya terlibat sepenuhnya secara analitikal dan teoritikal. “Saya perlu memulakan proses kajian ini daripada peringkat awal sehingga ke peringkat akhir mengikut langkah-langkah profesional penyelidikan. Pergi ke tempat kajian,  mengadakan temu bual, mengumpul data mengikut kaedah dan prosedur, kemudian menganalisis data yang diperolehi untuk menghasilkan laporan lengkap,” ujarnya. Tambah Khushairi lagi, “untuk melengkapkan kajian, saya ke penjara  hampir setiap hari bagi membuat diagnosis TB kepada banduan-banduan yang menghidap HIV Positif. Setelah mengambil sampel kahak dan membuat ujian TB, saya akan menemu bual mereka untuk mendapatkan maklumat mengenai latar belakang dan maklumat kesihatan.” Menurutnya, mereka memilih penjara sebagai lokasi kajian kerana banduan mudah dijangkiti penyakit tersebut. Faktor utama ialah persekitaran yang tidak bersih dan pengidap HIV Positif mudah dijangkiti TB. Ini kerana antibodi mereka sangat lemah menyebabkan virus senang menyerang. Dalam pada itu, Khushairi mendapat banyak pengajaran apabila sering berhubung dengan banduan di
penjara. 
 
PENGALAMAN MENYELAMI HATI BANDUAN
Penyelidik dianggap sebagai kerjaya di belakang tabir. Bekerja tanpa mendapat perhatian umum tetapi  menghasilkan sebuah penyelesaian yang dapat membantu berjuta-juta manusia dalam kehidupan. Walau ganjaran tidak seberapa, pengalaman dan pengajaran yang diperoleh membuatkan Khushairi tidak pernah merasa terbeban.  Mungkin penyelidik lain biasa bertemu dan membuat kajian dengan masyarakat biasa, tetapi saya perlu berdepan dengan golongan penagih dadah dan pesakit AIDS. Mereka ini pula banduan yang mempunyai pelbagai latar belakang dan kisah hidup yang menyayat hati. Oleh itu, di samping membuat kajian, saya belajar banyak perkara apabila bergaul dengan mereka “Mereka tidak segan silu menceritakan perihal diri. Ada yang bermusuh dengan adikberadik, dibuang daerah, dihina dan disisih oleh masyarakat luar. Daripada cerita-cerita mereka, banyak pesanan dan nasihat yang diselitkan. Semua yang saya dapat ini membuatkan diri saya semakin sedar akan asal-usul dan bersyukur 
di mana Allah letakkan diri saya sekarang,” jelas Khushairi. 
 
PELUANG MASA DEPAN CERAH
Di samping banyak mempelajari pengalaman-pengalaman kehidupan, dia merasa satu kepuasan dan gembira apabila mereka mengucapkan kata-kata penghargaan  kepadanya. Mereka berasa sungguh gembira kerana ada yang mengambil berat dan prihatin dengan masalah kesihatan mereka serta sudi menjadi pendengar untuk meluahkan perasaan. Khushairi juga menggalakkan para pelajar yang minat dengan kerjaya seperti ini supaya tidak mensiasiakan peluang yang ada. “Jika kita berminat, yakin dengan kebolehan untuk berinteraksi dengan masyarakat,  suka membuat kerja-kerja menyelidik, terus halakan matlamat kita ke arah ini. “Semasa di institut pengajian tinggi, ambil jurusan yang berkaitan dengan bidang yang kita minat untuk membuat penyelidikan. Dengan menjadi penyelidik juga, peluang kita untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi sangat cerah dan laluannya menjadi mudah kerana pengalaman dan pengetahuan yang  luas,” katanya yang bakal membuat kajian tentang ketagihan dadah selepas ini.
 
PROFIL
Nama Penuh: Mohd Khushairi Borhanudin
Umur: 25 Tahun
Asal: Mentakab, Pahang
Pendidikan: -Universiti Malaya (Ijazah Sarjana Muda Sastera, pengkhususan Antropologi & Sosiologi)
-SMK Mentakab, Pahang
-SK Abu Bakar, Mentakab, Pahang
Kerjaya: Pembantu Penyelidikan
 
INFO
Kerjaya ini menarik kerana:
• Tidak rasa seperti bekerja tetapi umpama sukarelawan yang membantu.
• Tidak ada tekanan kerana kerja yang fleksibel dan masa diatur sendiri.
• Mendapat banyak pengalaman daripada kisah hidup masyarakat.
• Peluang meningkatkan kemajuan diri dalam kerjaya dan pendidikan.
• Membantu penambahbaikan kesihatan.