Salam sejahtera dan selamat bertemu kembali
Apa khabar para pembaca yang dikasihi? Tanpa kita sedar masa begitu pantas berlalu dan kini kita telah berada dalam penghujung tahun 2012. Justeru, masa yang kita lalui ini mengingatkan kepada kita bahawa setiap ‘kerja buat’ kita tidak boleh bertangguh lagi. Inilah masanya anda harus komited dan fokus dalam pelajaran hinggalah menjelang peperiksaan yang mendebarkan itu.

Pembaca yang budiman
Keluaran kali ini, cikgu ingin berkongsi dengan anda tentang format karangan pengucapan awam. Jenis-jenis karangan yang dikategorikan sebagai pengucapan awam ialah menyampaikan ucapan, pidato, syarahan, ceramah, perbahasan dan taklimat. Walaupun nampak seperti mudah, tetapi aplikasinya berbeza mengikut konteks audien, situasi, masa, tema dan sebagainya. Cikgu dapati dalam peperiksaan awam, sering kali soalan berformat karangan pengucapan awam dikeluarkan untuk menguji kemahiran calon-calon peperiksaan. Bagi pelajar-pelajar yang telah menguasai kaedah dan teknik pengucapan awam ketika menyertai mana-mana pertandingan, hal ini merupakan satu kelebihan buat anda. Mari kita teliti ciri-ciri yang diperlukan untuk membantu anda memantapkan kemahiran menulis karangan pengucapan awam.

UCAPAN

TEMA CIRI-CIRI
Majlis perasmian, perpisahan, dan meraikan seseorang

Kata alu-aluan sebagai tanda hormat kepada hadirin seperti Tuan Pengerusi Majlis, Yang dihormati, Yang dimuliakan, Yang berbahagia Dato’ dan sebagainya berdasarkan tingkat status tetamu yanghadir.

Kata-kata panggilan hormat Dato’, Datin. Tuan-tuan dan puan-puan, Hadirin yang dihormati, Hadirin dan Hadirat yang mesti disebut dan ditulis pada setiap permulaan perenggan.

Pada bahagian penutup, tutuplah dengan Akhir kata, Bagi mengakhiri ucapan saya dan sebagainya hendaklah disertakan dengan memohon maaf, sekian dan ucapan terima kasih. Mungkin juga anda boleh menggunakan pantun, sajak atau petikan kata-kata pemimpin untuk menutup majlis tersebut.

Contoh Pendahuluan Karangan Ucapan Majlis Perpisahan
Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Haji Ariffin Bin Abdullah, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, Encik Zulkarnain Bin Zainal Abidin, Penolong Kanan, Puan Hajah Umaimah Bte Kasim, guru yang kita raikan pada hari ini, barisan guru dan para pelajar yang dikasihi sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

PIDATO DAN SYARAHAN

TEMA CIRI-CIRI
Menyertai pertandingan, jemputan menyampaikanpidato atau syarahan

Kata alu-aluan sebagai tanda hormat kepada hadirin seperti Tuan Peneraju Majlis, Barisan hakim yang adil lagi bijaksana, Penjaga masa yang setia, Hadirin dan Hadirat yang dihormati.

Menerangkan definisi dan konsep tajuk pidato ataupun syarahan yang akan disampaikan.

Kata-kata panggilan hormat seperti Tuan-tuan dan puanpuan, Saudara dan saudari, Hadirin yang dihormati, Hadirin dan Hadirat yang mesti disebut dan ditulis pada setiap permulaan perenggan.

Pidato atau syarahan yang baik biasanya diselitkan dengan unsur kiasan, petikan madah, kata-kata sinis dan sebagainya.

Pada bahagian penutup, tutuplah dengan rumusan keseluruhan pidato atau syarahan. Beri penegasan yang boleh menyentuh fikiran dan emosi pemeriksa seperti rayuan, memujuk dan mengajak hadirin berbuat sesuatu. Tujuannya adalah untuk memberi impak emosi dan seriusnya perkara yang sedang dibincangkan.