Tinggal tiga hari lagi umat Islam bakal menyambut bulan Ramadhan. Jika ada di kalangan anda baru saja selesai atau masih menggantikan puasa yang lepas, ia mungkin satu kelebihan untuk melatih perut supaya bersedia menempuh bulan puasa. Bagi yang mempunyai sakit gastrik, entri ini untuk anda.

 

Ramai menganggap sakit gastrik mudah menyerang ketika bulan puasa. Hal ini kerana, kita tidak dibenarkan mengambil minuman atau makanan sehingga menyebabkan tahap asid dalam perut meningkat.

 

Sebenarnya, pendapat ini kurang tepat. Ketika anda berpuasa, sistem penghadaman akan turut berehat. Ini bermakna, rembesan asid hidroklorik dalam perut akan menurun. Jadi, jangan jadikan sakit perut atau senak sebagai alasan untuk anda ponteng puasa ya.

 

Jika anda sakit perut sekali pun, ia bukanlah sebab anda berlapar tetapi tabiat anda ketika berbuka. Mesti ramai yang tertanya-tanya bagaimana cara mengatasi masalah ini pada bulan puasa kelak?

 

Ketika berbuka nanti, kami sarankan anda mengambil makanan sedikit demi sedikit supaya perut anda tidak 'terkejut'.  Misalnya, anda perlu mengambil makanan ringan terlebih dahulu seperti kurma, kuih muih dan buah-buahan. Kemudian, anda perlu berehat sebentar. Setelah solat magrib, barulah anda boleh mengambil makanan berat seperti nasi dan lauk.

 

Apa yang penting, anda tidak seharusnya meninggalkan sahur. Minum banyak air ketika sahur, kurangkan makanan manis, elak ambil juadah yang terlalu pedas dan berempah serta elak mengambil minuman berkafein. Jika teringin sekali pun, ambillah minuman ini selepas anda menunaikan solat teraweh.

 

Di harap, puasa tahun ini mendatangkan banyak kebaikan dan mengajar anda untuk menjadi seorang pelajar penyabar, cergas dan rajin biarpun anda sedang berpuasa.