Belajar selepas sahur mahu pun selepas waktu subuh dikatakan lebih baik berbanding belajar lewat malam. Menerusi entri kali ini, kami terangkan mengapa belajar ketika awal pagi lebih berkesan untuk anda dan diharap anda tidak lagi sambung tidur selepas bersahur selepas membaca entri ini.

 

Rasulullah sendiri tidak tidur selepas menunaikan solat subuh kerana Allah S.W.T memberkati umat ini yang berpagi-pagi, seperti satu hadis yang berbunyi:

 

“Ya Allah, berkatilah umatku yang berpagi-pagi”

 

Untuk itu, para fuqaha’ memakruhkan tidur selepas solat subuh. Ayat di atas sudah cukup menggambarkan betapa banyaknya kebaikan apabila bangun awal pagi.

 

Orang yang bangun awal pagi biasanya mempunyai wajah yang bersih dan sentiasa tampil yakin dalam kehidupan sehariannya. Malah, tubuh badan akan sentiasa sihat kerana menghirup udara segar setiap pagi.

 

Selain itu, bangun awal pagi akan membuatkan anda lebih bertenaga dan mampu 'menyerap' apa yang telah anda pelajari. Tambahan pula, waktu awal pagi adalah waktu terbaik untuk memperoleh kejayaan dan rezeki yang murah.

 

Bagi seorang pelajar seperti anda, otak akan bergerak dan memberi tindak balas yang cekap dan pantas. Disebabkan itu, anda disarankan untuk belajar selepas bersahur kerana lebih baik dari belajar sampai lewat malam.

 

Jika anda tidak mampu mengulang kaji pelajaran pada petang hari kerana letih berpuasa dan akan merasa mengantuk untuk belajar pada lewat malam, maka jadikan selepas sahur adalah waktu terbaik untuk mengulang kaji pelajaran.

 

Sesungguhnya, awal pagi adalah hari permulaan yang lebih bertenaga untuk melakukan apa saja!